Thursday, February 18, 2010

The Carnival


   Cuti Tahun Baru Cina yang menjelang baru-baru ini kami merancang untuk berkhemah di Sedim, sebuah kawasan rekreasi arus deras yang terkenal di negeri Kedah. Setelah segala perancangan disusun dengan rapi, akhirnya semuanya musnah dimulakan dengan Adam yang tidak dapat turut serta setelah dia yang beria-ria mempromosikan "Sedim Valentine" di dalam Facebook. Kemalangan parah ini tidak terhenti begitu sahaja apabila Nashriq ingin menyertai keluarganya pergi merisik. Akhirnya kami memutuskan untuk menangguhkan perkhemahan ini ke tarikh yang akan ditentukan.

   Setelah berhempas-pulas memikirkan aktiviti yang lain untuk memenuhi masa cuti yang terluang, saya akhinya mencadangkan The Carnival yang terletak di Sg. Petani. Perjalanan dari Alor Setar mengambil masa lebih kurang sejam untuk tiba di sana dek kesesakan kenderaan di lebuhraya. Setibanya di The Carnival, RM 25 dibayar sebagi bayaran masuk. Setelah masing-masing diberikan "jam pekak" oleh penyambut tetamu, kami melangkah masuk. Berbaloikah RM 25 ringgit? Pertanyaan pertama yang terdetik di hati saya apabila terik mentari mula membakar kulit saya yang sudah terserlah "keputihannya".

   Pintu masuk yang dihiasi air pancut menambat hati saya untuk lebih mengetahui apa yang terdapat di sebalik pintu gerbang utama. "Street of Happening" yang tertulis di salah satu papan tanda cukup untuk memberikan tanggapan pertama yang baik tentang keadaan di dalam taman tema ini.

   Apabila kami melangkah masuk ke dalam taman tema ini, kami tersentak dengan kehadiran ramai orang yang sedang galak bermandi-manda walaupun cuaca pada ketika itu panas terik. Namun segala perasaan tersebut hilang begitu sahaja apabila saya mula masuk ke salah sebuah kolam yang mengelilingi taman tersebut. Perjalanan ala-ala santai di atas pelampung yang dibawa oleh ombak membuatkan saya tidak menghiraukan lagi panas mentari yang membakar. Pali dan Nashriq yang mulanya agak kecewa dengan keadaan yang terlalu sesak akhirnya akur dengan kehebatan "gelongsor biru" yang akan menggentarkan jiwa raga sesiapa sahaja yang baru kali pertama mencubanya.

   Banyak lagi permainan-permainan  mencabar yang disulami dengan aktiviti-aktiviti yang menarik di satu-satunya taman tema seumpama ini di negeri Kedah. Walaupun tidak setanding dengan taman tema yang lain, namun ianya berbaloi untuk dilawati. Secara keseluruhannya, bayaran yang dikenakan dirasakan berbaloi dengan pengalaman yang diperolehi. Pergilah melancong...


Album Gambar>>>>

No comments: