Thursday, February 18, 2010

The Carnival


   Cuti Tahun Baru Cina yang menjelang baru-baru ini kami merancang untuk berkhemah di Sedim, sebuah kawasan rekreasi arus deras yang terkenal di negeri Kedah. Setelah segala perancangan disusun dengan rapi, akhirnya semuanya musnah dimulakan dengan Adam yang tidak dapat turut serta setelah dia yang beria-ria mempromosikan "Sedim Valentine" di dalam Facebook. Kemalangan parah ini tidak terhenti begitu sahaja apabila Nashriq ingin menyertai keluarganya pergi merisik. Akhirnya kami memutuskan untuk menangguhkan perkhemahan ini ke tarikh yang akan ditentukan.

   Setelah berhempas-pulas memikirkan aktiviti yang lain untuk memenuhi masa cuti yang terluang, saya akhinya mencadangkan The Carnival yang terletak di Sg. Petani. Perjalanan dari Alor Setar mengambil masa lebih kurang sejam untuk tiba di sana dek kesesakan kenderaan di lebuhraya. Setibanya di The Carnival, RM 25 dibayar sebagi bayaran masuk. Setelah masing-masing diberikan "jam pekak" oleh penyambut tetamu, kami melangkah masuk. Berbaloikah RM 25 ringgit? Pertanyaan pertama yang terdetik di hati saya apabila terik mentari mula membakar kulit saya yang sudah terserlah "keputihannya".

   Pintu masuk yang dihiasi air pancut menambat hati saya untuk lebih mengetahui apa yang terdapat di sebalik pintu gerbang utama. "Street of Happening" yang tertulis di salah satu papan tanda cukup untuk memberikan tanggapan pertama yang baik tentang keadaan di dalam taman tema ini.

   Apabila kami melangkah masuk ke dalam taman tema ini, kami tersentak dengan kehadiran ramai orang yang sedang galak bermandi-manda walaupun cuaca pada ketika itu panas terik. Namun segala perasaan tersebut hilang begitu sahaja apabila saya mula masuk ke salah sebuah kolam yang mengelilingi taman tersebut. Perjalanan ala-ala santai di atas pelampung yang dibawa oleh ombak membuatkan saya tidak menghiraukan lagi panas mentari yang membakar. Pali dan Nashriq yang mulanya agak kecewa dengan keadaan yang terlalu sesak akhirnya akur dengan kehebatan "gelongsor biru" yang akan menggentarkan jiwa raga sesiapa sahaja yang baru kali pertama mencubanya.

   Banyak lagi permainan-permainan  mencabar yang disulami dengan aktiviti-aktiviti yang menarik di satu-satunya taman tema seumpama ini di negeri Kedah. Walaupun tidak setanding dengan taman tema yang lain, namun ianya berbaloi untuk dilawati. Secara keseluruhannya, bayaran yang dikenakan dirasakan berbaloi dengan pengalaman yang diperolehi. Pergilah melancong...


Album Gambar>>>>

Sunday, February 14, 2010

Pulau Sayak Episode 1




   Tanggal 1 Januari 2010 saya bersama rakan-rakan merasmikan tahun baru dengan berkhemah di Pulau Sayak. Mengikut perancangan awal, tempat perkehemahan adalah di Sungai Batu, Pulau Pinang. Namun perancangan awal terpaksa dibatalkkan atas sebab-sebab keselamatan. Persediaan separa rapi dibuat untuk camping suka-suka pada musim cuti. Namun bekalan makan yang kami bawa bukan calang-calang. Dua ekor siakap "Giant" serta seekor ayam pencen menjadi maincourse kami untuk sesi perkhemahan ini. Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar, kami menyusuri jalan raya menuju ke destinasi bajet tersebut.

Setibanya di sana, kami memasang khemah dan bersedia untuk terjun ke laut. Pantainya tidaklah secantik mana namun cukup untuk membuang keringat dan menyejukkan badan. Terjunan penuh gaya akhirnya mengundang padah apabila kaki saya menghentam banjaran baru karang yang tersembunyi di dalam air. Mujurlah tiada kecederaan serius. Apabila sang mentari mula melabuhkan tirainya, dan remang senja mulai kelihatan, kami meredah perkampungan berdekatan meminta ihsan untuk menumpang mandi kerana di campsite tidak ada bekalan air tawar. Permintaan kami disambut penuh senyuman oleh makcik restoran berdekatan yang sedang sibuk menyiram pokok cilinya. Pujian tinggi melangit kepada masyarakat di kampung nelayan Pulau Sayak.

Malam pun menjelang tiba. Saya melaungkan azan menandakan waktu Maghrib telah tiba. Syahdu rasanya hati melaungkan kalimat memuji Ilahi sewaktu itu. Dengan desiran ombak menghempas pantai menambah lagi rasa kagum akan kebesaran yang maha esa. Selepas solat, maka cabaran sebenar pun bermula. Lampu ayam Giant mula dipasang dan merupakan satu-satunya sumber pencahayaan yang kami ada selain lampu suluh dan lampu jalan. Aktiviti memasak nasi dimulakan oleh Pali selaku tukang masak dan dibantu oleh Amin dan Nashriq yang juga merupakan ajk kantin. Apabila semuanya nampak seakan-akan berjalan lancar, bencana pun bermula.

Permulaannya dirasmikan oleh total mulfunction lampu ayam yang hanya "hangat-hangat taik ayam". Nyalaan tak sampai sejam mengundang sumpah seranah daripada saya. Mujurlah pengalaman lebih dari seratus jam masa bercamping mengajar saya untuk mencari alternatif lain. Tugas mencari kayu api diserahkan kepada saya. Namun sebatang kayu mati pn tidak ditemui kerana pokok-pokok disana semuanya segar dan bugar yang menyukarkannya untuk dimamah api. Kayu hanyut yang berusia puluhan tahun yang ditemui tetap tegar untuk menyala walaupun hampir setengah botol minyak petrol 4 liter disimbah. Maka akhirnya kami hanya menggunakan lampu picit sebagai alternatif lain. Alhamdulillah dengan berkat susah payah dan kesabaran tahap 7 petala langit, kami berjaya juga menyiapkan makan malam, nasi putih dan siakap bakar yang dilantak tanpa banyak soal. Ketika asyik bersantap, hujan mulai turun...

Hujan renyai-renyai yang tidak berapa lama turun melegakan hati kami. Kami mengambil tempat di tepi pantai menghayati keindahan malam ditamani nyamuk dan semut merah yang bagaikan menggila apabila sarangnya dipijiak. Angin malam yang sepatutnya bertiup kencang tiba-tiba menghilang. Suasana panas dan terpakasa berperang dengan semut dan nyamuk membuatkan kami hilang selera untuk meneruskan aktiviti lepak pantai. Masing-masing memasang azam dan niat untuk tidak lagi datang ke sini. Hampir pukul 4 pagi barulah saya boleh melelapkan mata.

Pagi yang menjelang dirasakan kenikmatan yang tidak terhingga. Sosej potong, telur hancur dan roti kosong telah menanti saya di pintu khemah Coleman yang telah banyak berjasa. Bersama sebotol sos cili dan lada sulah menjadi penambah perisa sarapan yang ala kadar itu. Setelah berkemas, kami bergerak ke Lata Bayu untuk destinasi bajet seterusnya.




Lost World of Lata Bayu


Perjalanan dari Pulau Sayak ke Lata Bayu mengambil masa kira-kira sejam setengah. Kenangan pahit yang dilalui di Pulau Sayak menjadi bahan ketawa sepanjang perjalanan. Ternyata kenangan sebegitu menjadi kenangan dan menambah pengalaman bagi kami.

Setibanya kami di Lata Bayu, segala penat-lelah dirasakan hilang. Keindahan floranya yang menghijau seolah memberi kami semangat baru. Badan yang letih dirasakan segar semula. Lata Bayu terkenal dengan keindahan dan kesejukan air terjunnya yang bersih dan tidak tercemar. Landskapnya yang kaya dengan kehijauan tumbuhan semulajadi serta kebersihan kawasan rekreasi ini yang dijaga dengan rapi turut menambah lagi daya tarikannya. 


     Pali memulakan majlis perasmian dengan terjun tiruk dikuti dengan saya yang hanya melakukan dayungan sisi. Destinasi kami ialah air terjun yang laju mengalir dari atas jeram. Amin yang pada mulanya malu-malu kucing untuk turun ke air menjadi aktif apabila melihat kami berenang dengan jayanya menuju ke air terjun tersebut. Nashriq yang sedang galak melakukan aksi-aksi daripada laut dalam juga membangkitkan semangat ingin tahunya. Segala kenangan di Pulau Sayak dilupakan buat sementara waktu sementara kami memuaskan nafsu melayani gelodak air terjun di Lata Bayu.

Lata Bayu adalah salah sebuah pusat rekreasi di daerah Baling. Kawasan ini lengkap dengan kemudahan seperti dewan, tandas, surau dan medan makan menjadikannya sesuai untuk rekreasi sekeluarga. Bagi anda yang sukakan aktiviti perkhemahan, kawasan ini menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan. Pengunjung boleh memilih mana-mana tempat yang dirasakan sesuai. Tetapi awas!! Lamunan anda mungkin terhenti dek suara kanak-kanak yang berlegar di sekitar campsite anda. :p




Album Gambar>>>