Showing posts with label Arus Semasa. Show all posts
Showing posts with label Arus Semasa. Show all posts

Monday, March 8, 2010

Hantu Di Mana-Mana



PUTRAJAYA: Kerajaan akan menguatkuasa Garis Panduan Penapisan Filem yang baru Isnin depan bagi menggantikan garis panduan yang diguna pakai sejak 1993.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam berkata garis panduan itu antara lain mengandungi pernyataan mengenai perkara yang diteliti dalam proses menapis filem oleh Lembaga Penapis Filem (LPF). 

Ini merangkumi empat aspek iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosio-budaya dan ketertiban dan ketatasusilaan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Garis Panduan Penapisan Filem keempat di sini hari ini. 

Beliau berkata garis panduan itu boleh dijadikan panduan kepada penggiat seni perfilemen mengenai perkara-perkara yang harus diberi perhatian dan penilaian kritikal berhubung kandungan sesebuh filem. Menurutnya garis panduan baru itu dipersetujui oleh majoriti pihak yang berkepentingan dalam bidang itu termasuk penerbit filem. - Bernama




Pada pendapat aku insan yang tidak la pandai sangat tentang dunia perfileman ni, kurangkanlah sikit buat filem-filem hantu tu. Sekarang ni semuanya nak "dihantukan" oleh penerbit filem dan menjadi semacam isu semasa lak bila perkara ni diperkatakan oleh imam khutbah Jumaat minggu lepas. Hatta ke congkak yang lama dah orang dok main pun dijadikan citer hantu. Silap-silap mesin basuh pun ada hantu. Huhuhu... 
Kata tok khatib, filem-filem seram ni banyak menonjolkan ajaran khurafat di kalangan masyarakat terutamanya yang beragama Islam. Memang la nak dijadikan pengajaran. Tapi bagaimana lak bila kanak-kanak terpengaruh dan ramai yang dewasa kembali mencari benda-benda tersebut untuk kepentingan diri sendiri. Walaupun benda-benda kurafat dan syirik ini sudah lama dilupakan, namun ianya tidak mustahil kembali subur setelah hebat dipromosikan oleh penerbit-penerbit filem sekarang. Fikir-fikirkanlah.. 





Saturday, March 6, 2010

Bila Orang Rusia Cakap Melayu








Bangga tak  terkata apabila melihat Bahasa Melayu dituturkan oleh orang dari negara lain. Itulah yang aku rasa bila tengok orang Rusia berpidato semalam. Walaupun nak tergelak pun ada tapi rasanya diorang lebih hebat kot sebab berani belajar bahasa asing dan berpidato di pentas antarabangsa lak. Kita berapa ramai yang boleh cakap Rusia dan berpidato macam tu? 

Pidato Antarabangsa  Bahasa  Melayu yang telah berlangsung  pada 2 Februari sehingga 5 Februari 2010 di Kuala Lumpur telah berakhir semalam. Antara negara-negara yang menyertai pertandingan ini ialah Afghanistan, Albania, Amerika Syarikat, Armenia, Australia, Azerbaijan, Bangladesh, Belanda, Belarus, Brunei, Bulgaria, Cameroon, Comoros, Czech, China, Georgia, India, Indonesia, Iran, Iraq, Italy, Jepun, Jerman, Kanada, Kazakhtan, Kemboja, Kyrgyzstan, Korea Selatan, Kosovo, Lithuania, Malaysia, Mesir, Moldova, Nigeria, Palestin, Perancis, Poland, Romania, Rusia, Singapura, Slovakia, Sri Lanka, Thailand, Turki, United Kingdom, Ukrine, Vietnam, dan Yaman. Penyertaan ini membuktikan BAHASA MALAYSIA dipelajari di seluruh dunia. 

Antara tajuk pidato yang dipertandingkan :
1. Membudayakan Inovasi Ke Arah Kecemerlangan Sains dan Teknologi
2. Inovasi Memacu Kemajuan Ekonomi
3. 1Malaysia - Idea Malaysia Untuk Kesejahteraan Dunia
4. Remaja Berwawasan Pemacu Kemajuan Negara
5. Kelestarian Masa Depan Bumi Di Tangan Kami
6. Melestarikan Bumi Untuk Kenikmatan Hidup Hari Esok
7. Agenda Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Berwibawa
8. Bahasa Menunjukkan Bangsa
9. Pencapaian Bahasa Melayu Dalam Menerjah Teknologi Angkasa
10. Dinamika Budaya - Malaysia Destinasi Dunia


zaman gemilang: Malu bila orang Melayu sendiri perlekeh bahasa sendiri

Monday, March 1, 2010

1 MALAYSIA

1 Malaysia 1 matlamat, 1 impian. Inilah yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri kita DatSeri Najib Tun Razak. Perakara ini menjadi satu isu semasa yang telah diketahui umum hatta kanak-kanak pun melaungkan slogan 1 Malaysia.


Pada asasnya sepertimana yang kita ketahui, 1 Malaysia adalah program kerajaan  untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Sememangnya kaum-kaum di negara kita pada hari ini pada dasarnya bersatu padu dan bekerjasama untuk menjaga keamanan dan membangunkan negara ini.

Namun hakikat yang sebenarnya, kita hanya tidak bergaduh sesama kaum dan menjalankan kehidupan masing-masing dalam dunia masing-masing. Memang ada interaksi sesama kaum dalam kehidupan harian. Tetapi adakah kita benar-benar dapat bersahabat baik dengan pelbagai kaum di negara ini sepertimana yang ditunjukkan di dalam iklan-iklan?

Inilah yang cuba dibentuk oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional sekarang. Bukan sahaja untuk membentuk perpaduan antara masyarakat berbilang kaum, malahan supaya dapat menjalin persahabatan dan berkekakalan keamanan yang dikecapi sekarang.

Program seumpama ini adalah baik tetapi kadangkala menimbulkan prejudis, prasangka dan persoalan. Adakah ada kemungkinan hak-hak eksklusif bumiputra akan turut sama dikongsi oleh masyarakat bukan bumiputra suatu masa nanti? Fikir-fikirkanlah..

Sunday, February 21, 2010

UNIVERSITI KEHIDUPAN

Saban tahun, ribuan graduan yang menamatkan pelajaran daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ataupun daripada Institut Pengajian Tingi Swasta (IPTS). Itu tidak termasuk graduan yang menuntut di luar negara.  Negara kita patut berbangga dengan kelahiran ramai graduan daripada universiti yang mempunyai tahap pendidikan dan pengetahuan yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa pada masa hadapan, negara Malaysia yang tercinta ini akan ditadbir dan diterajui oleh ramai golongan cerdik-pandai yang berijazah, mempunyai sarjana bahkan doktor falsafah. Hal ini berbeza keadaannya pada masa sekarang di mana terdapat di kalangan golongan yang bergelar Yang Berhormat atau menteri sekalipun ada yang tahap pendidikan mereka tidak setinggi itu. Persoalannya disini, adakah mampu golongan graduan pada masa sekarang menghadapi arus perubahan daripada kehidupan di universiti kepada kehidupan di dunia sebenar?

Kehidupan sebenar penuh cabaran dan dugaan. Antara cabaran utama yang dihadapi oleh para graduan sekarang ialah masalah pengangguran. Semasa majlis konvokesyen di universiti, ibu-bapa mengalirkan air mata gembira melihat anak kesayangan mereka menamatkan pengajian dan mendapat segulung ijazah yang dirasakan sangat bermakna. Pastinya dengan adanya ijazah akan lebih mencerahkan peluanag untuk mendapat pekerjaan yang baik dan menjanjikan hidup yang sempurna pada masa hadapan. Begitu jugalah yang sering dikatakan oleh guru-guru semasa di sekolah. Seolah-olah ijazah sebagai jaminan untuk mendapatkan kerja. Sang anak mulai masuk ke pasaran kerja. Hari yang berlalu berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun tetapi masih tidak ada pekerjaan yang sesuai. Pujian yang dulunya tinggi melangit diganti dengan tohmahan jiran-jiran dan leteran si ibu kerana masih tidak mempunyai pekerjaan. Niat si anak hendak mencari pekerjaan di Kuala Lumpur ditentang sehabisnya kerana dikatakan berisiko dan jauh dari keluarga. Akhirnya si anak terpaksa bekerja di pasaraya- pasaraya ataupun di syarikat-syarikat swasta dengan imbuhan gaji yang tidak seberapa dan banyak pula beban kerjanya.  SELAMAT DATANG KE DUNIA SEBENAR!!!

“Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga”. Peribahasa ini dirasakan sudah sebati dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Jika dilihat dari segi perspektif dan tafsiran penulis, peribahasa ini diungkapkan sebagai sekiranya kita ingin membuat sesuatu pekerjaan, kita mestilah melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan dari segi teknikal dan pengalaman. Bukan hanya dari segi teori dan pengetahuan. Mungkin terdapat pelbagai lagi tafsiran yang boleh dibuat, namun apa yang ingin ditegaskan di sini ialah pengalaman ataupun mengalami sesuatu itu sendiri adalah lebih penting daripada sekadar mengetahui atau pernah mempelajari. Atas dasar inilah pihak IPTA mahupun IPTS mensyaratkan latihan industri ataupun praktikal sebagai wajib untuk menamatkan pengajian. Ini adalah untuk menambah pengalaman graduan yang hanya disogokkan dengan teori di universiti untuk mengaplikasikannya di dalam kehidupan sebenar.

Pada masa kini, segulung ijazah kelas pertama sahaja tidak cukup untuk menjamin kehidupan yang selesa dan mempunyai pekerjaan yang baik. Para graduan haruslah dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran tertentu ataupun nilai tambah dalam diri  masing-masing. Janganlah dirasakan masa-masa menganggur sebagai bebanan dan memberi tekanan kepada diri sendiri. Sebaliknya gunalah peluang tersebut untuk meneroka potensi diri dan untuk mempelajari ilmu-ilmu baru yang tidak pernah di ajar di universiti. Sebagai contoh, para graduan dapat mempelajari teknik-teknik fotografi, cuba mengarang artikel, menerokai perniagaan internet ataupun menyertai pertubuhan-pertubuhan belia. Kemungkinan besar perkara yang anda rasakan sia-sia ini bakal menjadi karier ataupun membolehkan anda mendapat pekerjaan suatu hari nanti. Janganlah dirasakan diri anda tidak berharga dan tidak bermakna ijazah yang anda ada sekiranya tidak mempunyai kerja. Sebaliknya anggaplah tuhan memberikan peluang kepada anda untuk lebih mengenali diri dan mencipta peluang yang lebih baik. Ingatlah bahawa anda telah lama bersusah-payah belajar sepanjang hidup anda dan setiap usaha pasti ada ganjarannya kerana tuhan itu maha adil.

Para pelajar di bangku sekolah dan ibu-bapa sememangnya mengharapkan anak-anak mereka dapat menyambung pelajaran di universiti agar mendapat pekerjaan yang baik. Fahaman inilah yang mesti diubah kerana universiti bukanlah tempat yang menjanjikan pekerjaan dan kehidupan yang sempurna kepada penuntutnya. Universiti adalah tempat untuk para penuntutnya mengembangkan potensi diri, mempelajari perkara baru dan meningkatkan tahap pemikiran agar segala ilmu yang dipelajari bukan sahaja dapat digunakan untuk mencari kerja, bahkan dapat digunakan untuk mencipta kerjaya dan meneroka bidang yang baru, tidak semestinya terikat kepada bidang pengajian semasa di universiti. Inilah yang seharusnya difahami oleh para graduan, bakal graduan dan masyarakat.