Sunday, February 14, 2010

Pulau Sayak Episode 1




   Tanggal 1 Januari 2010 saya bersama rakan-rakan merasmikan tahun baru dengan berkhemah di Pulau Sayak. Mengikut perancangan awal, tempat perkehemahan adalah di Sungai Batu, Pulau Pinang. Namun perancangan awal terpaksa dibatalkkan atas sebab-sebab keselamatan. Persediaan separa rapi dibuat untuk camping suka-suka pada musim cuti. Namun bekalan makan yang kami bawa bukan calang-calang. Dua ekor siakap "Giant" serta seekor ayam pencen menjadi maincourse kami untuk sesi perkhemahan ini. Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar, kami menyusuri jalan raya menuju ke destinasi bajet tersebut.

Setibanya di sana, kami memasang khemah dan bersedia untuk terjun ke laut. Pantainya tidaklah secantik mana namun cukup untuk membuang keringat dan menyejukkan badan. Terjunan penuh gaya akhirnya mengundang padah apabila kaki saya menghentam banjaran baru karang yang tersembunyi di dalam air. Mujurlah tiada kecederaan serius. Apabila sang mentari mula melabuhkan tirainya, dan remang senja mulai kelihatan, kami meredah perkampungan berdekatan meminta ihsan untuk menumpang mandi kerana di campsite tidak ada bekalan air tawar. Permintaan kami disambut penuh senyuman oleh makcik restoran berdekatan yang sedang sibuk menyiram pokok cilinya. Pujian tinggi melangit kepada masyarakat di kampung nelayan Pulau Sayak.

Malam pun menjelang tiba. Saya melaungkan azan menandakan waktu Maghrib telah tiba. Syahdu rasanya hati melaungkan kalimat memuji Ilahi sewaktu itu. Dengan desiran ombak menghempas pantai menambah lagi rasa kagum akan kebesaran yang maha esa. Selepas solat, maka cabaran sebenar pun bermula. Lampu ayam Giant mula dipasang dan merupakan satu-satunya sumber pencahayaan yang kami ada selain lampu suluh dan lampu jalan. Aktiviti memasak nasi dimulakan oleh Pali selaku tukang masak dan dibantu oleh Amin dan Nashriq yang juga merupakan ajk kantin. Apabila semuanya nampak seakan-akan berjalan lancar, bencana pun bermula.

Permulaannya dirasmikan oleh total mulfunction lampu ayam yang hanya "hangat-hangat taik ayam". Nyalaan tak sampai sejam mengundang sumpah seranah daripada saya. Mujurlah pengalaman lebih dari seratus jam masa bercamping mengajar saya untuk mencari alternatif lain. Tugas mencari kayu api diserahkan kepada saya. Namun sebatang kayu mati pn tidak ditemui kerana pokok-pokok disana semuanya segar dan bugar yang menyukarkannya untuk dimamah api. Kayu hanyut yang berusia puluhan tahun yang ditemui tetap tegar untuk menyala walaupun hampir setengah botol minyak petrol 4 liter disimbah. Maka akhirnya kami hanya menggunakan lampu picit sebagai alternatif lain. Alhamdulillah dengan berkat susah payah dan kesabaran tahap 7 petala langit, kami berjaya juga menyiapkan makan malam, nasi putih dan siakap bakar yang dilantak tanpa banyak soal. Ketika asyik bersantap, hujan mulai turun...

Hujan renyai-renyai yang tidak berapa lama turun melegakan hati kami. Kami mengambil tempat di tepi pantai menghayati keindahan malam ditamani nyamuk dan semut merah yang bagaikan menggila apabila sarangnya dipijiak. Angin malam yang sepatutnya bertiup kencang tiba-tiba menghilang. Suasana panas dan terpakasa berperang dengan semut dan nyamuk membuatkan kami hilang selera untuk meneruskan aktiviti lepak pantai. Masing-masing memasang azam dan niat untuk tidak lagi datang ke sini. Hampir pukul 4 pagi barulah saya boleh melelapkan mata.

Pagi yang menjelang dirasakan kenikmatan yang tidak terhingga. Sosej potong, telur hancur dan roti kosong telah menanti saya di pintu khemah Coleman yang telah banyak berjasa. Bersama sebotol sos cili dan lada sulah menjadi penambah perisa sarapan yang ala kadar itu. Setelah berkemas, kami bergerak ke Lata Bayu untuk destinasi bajet seterusnya.




No comments: