Saturday, February 27, 2010

Semalam Yang Hangat



Semalam yang hangat… Aku teringat tajuk lagu kumpulan Wings kot x salah aku (kalau salah mintak maaf). Semalam aku x boleh tido sebab panas dalam bilik aku. Last-last aku tido kat ruang tamu. Sejuk sikit. Sekarang ni cuaca agak panas terutamanya di negeri-negeri di Utara Semenanjung Malaysia. Mungkin sebab dekat dengan Siam kot. Kawasan yang paling panas di Malaysia pula dicatat di Chuping, Perlis. Bagi yang xtau, Chuping tu tempat orang tanam tebu buat gula. Bukan menanam tebu di bibir. Hehehe... Kan dah melalut.

Suhu yang paling panas pernah dicatatkan di Chuping ialah 40 darjah celcius. Panas tu!!!! Jadi kerajaan pun dah sarankan macam-macam dalam paper, tv, ridiu (radio la tu) suruh minum air banyak-banyak dan kurangkan aktiviti luar terutamanya di tengah hari. Tapi bagi mat despatch x pun abang-abang posmen tu x dapat la nak nolong. Memang kena keja. Kaya la orang yang jual jus jambu sepanjang jalan tu. Tapi aku rasakan ada hikmahnya jugak cuaca panas camni. Sekurangnya korang kurang sikit pegi dating sebab nak jalan2 nek moto mau pedih kulit. Nak pegi air terjun lak air dah kering. Kurang la sikit maksiat kan.. kan… kan…

Sunday, February 21, 2010

UNIVERSITI KEHIDUPAN

Saban tahun, ribuan graduan yang menamatkan pelajaran daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ataupun daripada Institut Pengajian Tingi Swasta (IPTS). Itu tidak termasuk graduan yang menuntut di luar negara.  Negara kita patut berbangga dengan kelahiran ramai graduan daripada universiti yang mempunyai tahap pendidikan dan pengetahuan yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa pada masa hadapan, negara Malaysia yang tercinta ini akan ditadbir dan diterajui oleh ramai golongan cerdik-pandai yang berijazah, mempunyai sarjana bahkan doktor falsafah. Hal ini berbeza keadaannya pada masa sekarang di mana terdapat di kalangan golongan yang bergelar Yang Berhormat atau menteri sekalipun ada yang tahap pendidikan mereka tidak setinggi itu. Persoalannya disini, adakah mampu golongan graduan pada masa sekarang menghadapi arus perubahan daripada kehidupan di universiti kepada kehidupan di dunia sebenar?

Kehidupan sebenar penuh cabaran dan dugaan. Antara cabaran utama yang dihadapi oleh para graduan sekarang ialah masalah pengangguran. Semasa majlis konvokesyen di universiti, ibu-bapa mengalirkan air mata gembira melihat anak kesayangan mereka menamatkan pengajian dan mendapat segulung ijazah yang dirasakan sangat bermakna. Pastinya dengan adanya ijazah akan lebih mencerahkan peluanag untuk mendapat pekerjaan yang baik dan menjanjikan hidup yang sempurna pada masa hadapan. Begitu jugalah yang sering dikatakan oleh guru-guru semasa di sekolah. Seolah-olah ijazah sebagai jaminan untuk mendapatkan kerja. Sang anak mulai masuk ke pasaran kerja. Hari yang berlalu berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun tetapi masih tidak ada pekerjaan yang sesuai. Pujian yang dulunya tinggi melangit diganti dengan tohmahan jiran-jiran dan leteran si ibu kerana masih tidak mempunyai pekerjaan. Niat si anak hendak mencari pekerjaan di Kuala Lumpur ditentang sehabisnya kerana dikatakan berisiko dan jauh dari keluarga. Akhirnya si anak terpaksa bekerja di pasaraya- pasaraya ataupun di syarikat-syarikat swasta dengan imbuhan gaji yang tidak seberapa dan banyak pula beban kerjanya.  SELAMAT DATANG KE DUNIA SEBENAR!!!

“Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga”. Peribahasa ini dirasakan sudah sebati dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Jika dilihat dari segi perspektif dan tafsiran penulis, peribahasa ini diungkapkan sebagai sekiranya kita ingin membuat sesuatu pekerjaan, kita mestilah melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan dari segi teknikal dan pengalaman. Bukan hanya dari segi teori dan pengetahuan. Mungkin terdapat pelbagai lagi tafsiran yang boleh dibuat, namun apa yang ingin ditegaskan di sini ialah pengalaman ataupun mengalami sesuatu itu sendiri adalah lebih penting daripada sekadar mengetahui atau pernah mempelajari. Atas dasar inilah pihak IPTA mahupun IPTS mensyaratkan latihan industri ataupun praktikal sebagai wajib untuk menamatkan pengajian. Ini adalah untuk menambah pengalaman graduan yang hanya disogokkan dengan teori di universiti untuk mengaplikasikannya di dalam kehidupan sebenar.

Pada masa kini, segulung ijazah kelas pertama sahaja tidak cukup untuk menjamin kehidupan yang selesa dan mempunyai pekerjaan yang baik. Para graduan haruslah dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran tertentu ataupun nilai tambah dalam diri  masing-masing. Janganlah dirasakan masa-masa menganggur sebagai bebanan dan memberi tekanan kepada diri sendiri. Sebaliknya gunalah peluang tersebut untuk meneroka potensi diri dan untuk mempelajari ilmu-ilmu baru yang tidak pernah di ajar di universiti. Sebagai contoh, para graduan dapat mempelajari teknik-teknik fotografi, cuba mengarang artikel, menerokai perniagaan internet ataupun menyertai pertubuhan-pertubuhan belia. Kemungkinan besar perkara yang anda rasakan sia-sia ini bakal menjadi karier ataupun membolehkan anda mendapat pekerjaan suatu hari nanti. Janganlah dirasakan diri anda tidak berharga dan tidak bermakna ijazah yang anda ada sekiranya tidak mempunyai kerja. Sebaliknya anggaplah tuhan memberikan peluang kepada anda untuk lebih mengenali diri dan mencipta peluang yang lebih baik. Ingatlah bahawa anda telah lama bersusah-payah belajar sepanjang hidup anda dan setiap usaha pasti ada ganjarannya kerana tuhan itu maha adil.

Para pelajar di bangku sekolah dan ibu-bapa sememangnya mengharapkan anak-anak mereka dapat menyambung pelajaran di universiti agar mendapat pekerjaan yang baik. Fahaman inilah yang mesti diubah kerana universiti bukanlah tempat yang menjanjikan pekerjaan dan kehidupan yang sempurna kepada penuntutnya. Universiti adalah tempat untuk para penuntutnya mengembangkan potensi diri, mempelajari perkara baru dan meningkatkan tahap pemikiran agar segala ilmu yang dipelajari bukan sahaja dapat digunakan untuk mencari kerja, bahkan dapat digunakan untuk mencipta kerjaya dan meneroka bidang yang baru, tidak semestinya terikat kepada bidang pengajian semasa di universiti. Inilah yang seharusnya difahami oleh para graduan, bakal graduan dan masyarakat.